Tuesday, June 25, 2013

Pertolongan Cemas ( Hidung Berdarah ) .

Hidung Berdarah
Hidung kita boleh berdarah dengan mudah apabila saluran darah kecil yang terdapat dalam hidung pecah. Ini kerana kedudukan saluran darah begitu hampir dengan permukaan.
Masalah ini biasanya berlaku sama ada sekali atau beberapa kali dalam sehari.

Punca
Selain itu, hidung berdarah juga terjadi apabila saluran darah mengalami jangkitan seperti:
1.    Selsema
2.    Suhu dalam badan terlalu tinggi
3.    Alahan
4.    Menghembus nafas terlalu kuat
5.    Kekeringan mambran mukus(selaput lendir) seperti merekah dan berkerak
6.    Berlakunya kecederaan seperti mengorek hidung jauh ke dalam atau patah hidung
7.    Tekanan darah tinggi atau sesuatu penyakit ketumbuhan

Jenis-jenis
Kebanyakan masalah hidung berdarah boleh mengganggu kehidupan seharian kita. Lebih menakutkan, kadangkala masalah sebegini boleh mengancam nyawa apabila darah keluar dengan terlalu banyak dan tidak henti-henti. Terdapat dua jenis hidung berdarah:
1.    Hidung berdarah dari depan - Darah keluar dari bahagian depan hidung dan mengalir keluar ke salah satu lubang hidung atau kedua-duanya sekali jika pesakit bangun atau berdiri.
2.    Hidung berdarah dari belakang - Hidung berdarah berlaku jauh ke dalam hidung dan mengalir keluar melalui bahagian belakang mulut dan tekak. Tidak kiralah pesakit itu sedang berdiri ataupun bangun

Cara merawat
1.    Hentikan hidung berdarah dengan cara:
·         Picit secara lembut semua bahagian hidung dan bernafas melalui mulut. Lakukannya selama 10 minit tanpa berhenti.
·         Jangan baring. Bangun dan bongkokkan badan ke hadapan (jangan mendongak ke atas. Ini akan menyebabkan darah mengalir turun ke kerongkong).
·         Bersihkan darah dengan menggunakan tisu atau kain lembap.
·         Letakkan ais (hancurkan ais dalam kain yang bersih) ke dahi dan pipi.
2. Cegah hidung daripada berdarah semula:
·         Jangan menghembus hidung.
·         Jika hidung berasa kering dan berkerak, jangan korek. Nanti luka dan berdarah. Apa yang patut dilakukan ialah gunakan pelembap atau minyak bayi.
3. Berjumpa doktor:
·         Anda perlu memaklumkan kepada keluarga untuk berjumpa doktor sekiranya mengalami keadaan seperti:
·         Darah hidung mengalir laju atau kehilangan banyak darah.
·         Berasa hendak pitam atau pengsan.

Sejarah Mengenai Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia .


Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia
Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia (PBSM) ditubuhkan pada tahun 1948 sebagai cawangan Persatuan Palang Merah Britain di Sabah dan Sarawak. Pada tahun 1950an, lebih banyak cawangan persatuan ditubuhkan di Malaysia bermula di Pulau Pinang pada tahun 1950 dan kemudian di negeri-negeri lain.
Ketika kemerdekaan pada tahun 1957, cawangan di Semenanjung Malaysia dikenali sebagai Persatuan Palang Merah Persekutuan Tanah Melayu. Persatuan mendapat pengiktirafan oleh Persatuan Palang Merah Antarabangsa pada 4 Julai 1963 dan menjadi ahli badan antarabangsa itu pada 24 Ogos 1963.
Berikutan penggabungan Semenanjung Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak serta penubuhan Persekutuan Malaysia pada September 16, 1963, suatu penggubalan akta baru yang dikenali sebagai Akta Persatuan Palang Merah Malaysia (Penswastaan) Akta 1965 telah bertindak menggabungkan Persatuan Palang Merah Malaya dan cawangannya Persatuan Palang Merah di Sabah dan Sarawak dibawah nama baru iaitu Persatuan Palang Merah Malaysia. Ia dibentangkan di Parlimen dan digazetkan pada 1 Julai 1965.
Pada 5 September 1975, Persatuan Palang Merah Malaysia telah ditukar nama kepada Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia selaras dengan kebenaran penukaran nama Akta Persatuan Palang Merah Malaysia kepada Akta Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia Akta 1975 oleh Parlimen Malaysia.